Open Source Anjuran JPNT

Sunday, March 29, 2009

Berita Bola Tampar Daerah: SK

Persefahaman berpasukan dan ketenangan pemain ketika beraksi dalam perlawanan akhir telah menjulang pasukan Zon Kumpulan Dinamik Sekolah Rendah 2 (KDSR 2) dalam kejohanan bola tampar peringkat daerah di gelanggang SMK Seri Berang kelmarin.

Pasukan lelaki Zon KDSR 2 ‘B’ yang diwakili oleh pemain dari SK Kuala Dura dan SK Seri Berang menunjukkan kebolehan mematikan servis lawan dan beberapa pemain tonggak berjaya melakukan servis yang tajam membantu mereka mengalahkan pasukan juara bertahan, Zon KDSR 1 ‘A’ yang majoriti diwakili oleh pemain SK Bukit Apit dengan 10-25, 25-22 dan 15-12 dalam final lelaki bawah 12 tahun.


Perlawanan set pertama berlangsung hambar, di mana pasukan Zon KDSR 1 A berjaya mengutip mata mudah. Zon KDSR 2 B yang berjaya membuat kejutan mara ke final tidak mampu melakukan sesuatu untuk menyekat kemenangan pihak lawan.

Walaupun ketinggalan kepada pasukan lawan, pemain Zon KDSR 2 B menunjukkan sikap tenang mereka dan mendengar setiap arahan jurulatih untuk kembali mendapatkan mata ketika mereka beraksi dalam set kedua. Malah kedudukan mata yang seringkali bertukar menjadikan perlawanan bertambah menarik. Namun, kelebihan pasukan Zon KDSR 2 B yang berjaya mematikan servis lawan merupakan kunci kejayaan mereka muncul pemenang.

Permainan di set penentuan pula menyaksikan pasukan Zon KDSR 1 A terus l memberi tentangan, namu apabila tewas 12-15 dalam masa 25 minit sahaja. Kemenangan itu mengesahkan kejuaraan adalah milik Zon KDSR 2 B setelah menang dengan mata 2-1.

Jurulatih Zon KDSR 2 B, Mohd Nasir Abd. Rahman berkata, pasukannya berjaya bermain dalam satu pasukan dan mendengar setiap arahan yang diberikan oleh jurulatih. Mereka juga tidak banyak melakukan kesilapan ketika beraksi dalam final tersebut.

“Semua pemain menjalankan tanggungjawab mereka dengan cemerlang dan berupaya mengekang asakan pihak lawan. Ini menaikkan semangat mereka untuk terus memungut mata demi mata apabila berada di penghujung saingan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, dalam aksi separuh akhir, pasukan Zon KDSR 2 B telah mengalahkan pasukan SK Tanggol dengan straight set 25-14, 25-21. Manakala Zon KDSR 1 A mengecewakan pasukan SK Telaga dengan 25-23, 25-20 untuk mara ke funal menentang Zon KDSR 2 B.

Keputusan bagi kategori bawah 12 tahun perempuan pula menyaksikan pasukan Zon KDSR 2 A muncul juara apabila mereka turut menewaskan pasukan Zon KDSR 1 B dengan 25-21, 25-20. Pasukan Zon KDSR 2 A menunjukan semangat melawan pada set pertama dan mengejutkan lawannya itu yang dilabel sebagai pasukan pilihan. Hasrat Zon KDSR 1 B mahu menebus kehampaan pasukan lelakinya tidak kesampaian apabila Zon KDSR 2 A bermain dengan cemerlang.

Ini merupakan kejuaraan berganda buat Zon KDSR 2 apabila kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan mereka berjaya muncul juara untuk membuktikan penguasaan SK Bukit Apit dan SK Tanggol boleh dirobohkan. Pihak jawatankuasa pemilihan telah mengenal pasti pemain berbakat untuk diserapkan ke latihan pusat bagi mewakili daerah ke peringkat negeri pada April nanti.

Cetak Artikel Ini

New R.Design | Template Collection